Thursday, June 7, 2012

Aku Sebatang Pohon Tunggal

Aku sebatang pokok yang hidup tanpa daun dan ranting.Seharusnya aku layak di gelar sebatang kayu.Aku hidup di tepi lebuh raya.Aku rimas duduk di tepi lebuh raya kerana aku terdedah kepada terik cahaya matahari yang seakan tiada langsung belas kasihan membakar kulitku.Semakin hari kulitku semakin merekah dan ada kalanya luka akibat rempuhan kereta manusia.Ingin sekali aku menjerit tapi apakan daya tiada yang mendengar.Kawan-kawanku yang lain tidak mendengar jeritan dan rintihan aku kerana mereka tidak menganggap aku kawan mereka.Mereka sempurna tidak sepertiku.Mereka ada daun dan ranting.Ada juga di antara mereka yang mempunyai bunga.Seringkali aku diejek oleh mereka kerana tidak berdaun dan beranting apatah lagi bunga.Kadang-kadang aku rasa ingin membalas balik ejekan mereka tetapi mujur akarku kuat mencengkam tanah yang menyebabkan aku tidak membalas dendam kepada mereka.Aku hanya menjalani kehidupan sebagai sebatang pohon tunggal tanpa menghiraukan sekelilingku.Setiap hari aku menangis kerana melihat kemalangan yang berlaku.Ada yang cedera parah dan ada yang terkorban.Setiap peristiwa sentiasa menginsafkan aku.Aku percaya setiap yang hidup pasti akan mati.Begitu juga dengan diriku.Setiap yang terjadi kepada aku merupakan proses-proses aku sebelum menuju kematian.Teringat aku pada saat mula-mula aku kehilangan sesuatu yang berharga pada tubuhku.Pada peringkat awal aku tidak mengeluarkan buah,kemudian aku tidak berbunga.Lama kelamaan daunku gugur sedikit demi sedikit.Aku semakin bimbang.Setiap hari aku menangis mengenang nasibku apatah lagi melihat hanya rantingku yang tinggal.Seringkali aku menyalahkan takdir dan merasakan Allah tidak adil kepadaku.Aku sering mempertikaikan kenapa Allah ambil semuanya dari aku,kenapa tidak dari kawan-kawanku yang lain.Mereka masih cantik sperti dulu.Kenapa mesti aku?


Sehingga suatu hari,aku terdengar sepotong ayat suci al-quran yang berkumandang melalui radio kereta manusia.


كُلٌّ نَفسٍ ذَائِقَةُ الْمَوت
Setiap yang bernafas pasti akan merasai mati..

Firman Allah Taala yang bermaksud:

"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya." 
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Itulah saat yang mengubah hidupku secara mutlak.Aku percaya bahawa setiap yang terjadi kepadaku adalah ketentuanNya.Aku seharusnya bersyukur kerana Allah masih sudi memberi peringatan kepadaku tentang kematian.

Aku sekarang hidup lebih tenang di tepi lebuh raya bersama kawan-kawanku.Aku bersyukur kerana ditempatkan d tepi lebuh raya berbanding tinggal di dalam hutan bersama kawan-kawanku yang lain.Dahulu mereka pernah menakutkanku bahawa tinggal di tepi lebuh raya amat menggerunkan kerana setiap hari akan terdedah kepada kematian manusia.Memang dahulu aku takut,tetapi sekarang tidak lagi kerana aku adalah sebatang pohon tunggal yang masih di bawah lindungan Allah.

***

hehe
Lama betul tinggalkan zaman membuat karangan autobiografi.Teringat zaman sekolah dulu rendah dulu,inilah favourite question  yang akan dipilih bila keluar dalam kertas peperiksaan.Hari ini sengaja saya mencuba mengulang kembali memori 15 tahun dahulu.Seronok juga.Baru hari ini saya tahu susah juga buat karangan autobiografi ni.Masa dulu zaman budak-budak tak kenal erti susah yang penting kerja siap dan boleh main.Sekarang dah besar ni,mahu berselirat juga otak berfikir memilih ayat yang sesuai dengan usia.Erk.

Saya sekarang kena akui saya juga sudah tua.Mungkin otak sudah enggan berfungsi memikirkan ayat dramatis mahupun sensasi.Dahulu mungkin A1 untuk subjek bahasa melayu tetapi sekarang saya semakin luntur mengarang karangan.Agaknya kalau diminta membuat karangan fakta adakah saya mampu mengarang seperti dulu.

Kita semakin hari semakin tua.Semakin hari usia bertambah tidak kira sesaat.Semakin hari kedutan juga semakin bertambah tanpa belas kasihan.Erk.Kematian juga semakin menjemput.Kadang-kadang,belum tumbuh kedutan lagi,nyawa sudah diambil.Jadi kita sebagai hamba di muka bumi yang fana ini bersiap sedialah menghadapi saat-saat kematian tidak kira  tua atau muda.

Biiznillah..

bayt ghuraba'
3.36pg


No comments:

Post a Comment

Salju Sakura