Tuesday, December 11, 2012

Siri Perjalanan Along

Melalui kehidupan sebagai seorang anak seni dalam dunia yang cukup menyesakkan ini seringkali menjadikan jiwa si anak seni meruntun hiba.Apatah lagi,memikirkan hanya dia satu-satunya harapan keluarga untuk menghidang seribu kebahagiaan.

Sebelum menamatkan Ijazah pertamanya di luar negara,Along menyusun segala perancangan di atas sekeping kertas.Dia harus berfikir lebih serius tentang masa depannya dan keluarganya.

"Sebulan sahaja lagi aku akan pulang,perancanganku harus teliti.Pasti ibu bapa ku mengharapkan yang terbaik dari aku.Aku harus mempersembahkan kejayaan aku di hadapan mereka dan aku perlu mencari kerja agar dapat membantu keluargaku dengan titik peluhku sendiri.''

Tetapi segalanya seakan hiba.Cuaca mendung seakan-akan tidak menampakkan akan cerah kembali.Along duduk termenung dihadapan komputer ribanya.Along hanya merenung keyboardnya itu.Terasa jari yang sedari tadi berada di atas pehanya seakan bergerak perlahan-lahan menuju ke arah button yang tertulis huruf dan berbagai simbol.Along mencoret dihalaman blognya tentang rasa hatinya.

Sudah hampir dua bulan dia berada di rumah tanpa sebarang tawaran bekerja yang diterimanya.Hampir seluruh jiran bertanya tentang dirinya kepada ibu Along.Ibu Along terasa tertekan dengan soalan jiran-jiran.

"Along,bila kau nak mula kerja.Takkan nak duduk kat rumah ni je terperap.Semua orang kampung dah tanya pasal kau.Kau suka sangatlah kan,yang tanggung malunya aku."

"Mak,baru dua bulan Along balik rumah.Along belum dianggap menganggur sebab sekurang-kurangnya enam bulan tak dapat kerja baru kira menganggur mak.."

"Pandailah kau menjawab.Cuba yang ditanya tu kau,baru kau tahu mana nak letak muka kau.Tak kuasa aku nak melayan kau ni.Teruslah jadi ular sawa kat dalam rumah ni.Biar sampai bila-bila pun Bapak kau yang tanggung kau."

Along menarik nafas panjang.Sedikit duka dihatinya mengenangkan kata-kata dari ibunya itu.Dia tidak menyalahkan ibunya atas apa yang berlaku.Dia tahu ibunya tertekan.

Bagaimana harus aku menghadapi semua ini.Menjadi harapan keluarga malahan satu-satunya anak kampung yang berhijrah ke luar negara.Pasti aku yang dikagumi.Tekad harus kubulatkan demi keluargaku.Jika terpaksa aku menumpang belas kasihan orang,aku sanggup asalkan aku mampu bahagiakan mereka.

***
"Along,ada tawaran jadi cikgu kat sekolah tempat aku mengajar ni.Cikgu gantilah.Kalau kau nak,aku tolong usyakan."

"Berapa gaji sebulan?"

"RM 800."

RM800!
Aku tidak pasti jika gaji sebanyak itu mampu dan berbaloi.Jarak sekolah dengan rumah itu pun jauh.Tambang bas pergi balik sahaja sudah mencecah RM10.Kalau 25 hari aku kerja maybe cukup je gaji tu.Tapi untuk aku bergerak dari rumah ke stesen bas,memerlukan aku meminta jasa baik ibu saudaraku untuk menghantarku setiap pagi.Aduhai,malas juga rasa hati nak menyusahkan orang.

"aku rasa takpe lah kot.Payah juga kan nak ke sekolah tu.Lagi pula sekolah tu jauh masuk ke dalam.Kena jalan kaki lagi."
Alasan itu ku kira tidak cukup bagus.Nampak tidak berusaha dan tidak mahu berusaha.

"Along,aku rasa kita boleh minta tumpang dengan cikgu yang duduk dekat area tempat kau tinggal.Kebetulan dia pun mengajar kat sini."

"Ok,tapi kena tanya tuan badan juga la kan.Bagi sini phone number beliau.Biar aku sendiri yang uruskan.Terima kasih sebab kau sudi tolong aku."

"My pleasure as a friend."


Kata persetujuan dari cikgu itu telah menaikkan kembali semangat Along.Dia bersetuju bekerja sebagai guru ganti.Baginya,itulah permulaan dalam hidupnya untuk keluar dari rumah dan mencari rezeki dengan titik peluhnya sendiri.

Sudah sebulan dia bekerja sebagai guru.Hari itu,Along dapat gaji pertamanya.Tidak banyak.Hanya RM680 sahaja kerana gaji dibayar ikut hari,kalau ada hari yang tidak bekerja,maka gaji akan dipotong.Kebetulan bulan itu banyak cuti.Cuti hari rayalah,cuti itu lah,cuti ini lah.Maka gaji pun berkurang.Awal-awal lagi sudah Along asingkan duitnya.RM100 untuk cikgu yang ditumpanginya,RM50 untuk bayar minyak kereta ibu saudaranya.RM250 disimpannya untuk bayaran konvonya dan RM30 lagi untuk bayaran bagi permohonannya melanjutkan pelajaran di peringkat Master.

"Masih ada baki."

Dipujuk Bapaknya untuk membawanya ke Super Market untuk membeli sesuatu yang dikira sebagai hadiah untuk keluarganya sempena gaji pertamanya.Sampai sahaja di Super Market,dia bergegas menuju ke arah tempah makanan sejuk beku seperti nugget,sausage,chicken chop dan sebagainya.Sudah lama dia impikan untuk belanja satu familynya makan chicken chop walaupun sekadar sejuk beku.Itu harapannya.Nak dibawa ke restoran mewah,masih belum mampu.Kelihatan keluarga Along gembira ketika Along mencapai chicken chop satu persatu dan dimasukkan ke dalam troli bersama dengan kentang.Selama ni asyik tengok anak-anak ibu saudaranya sahaja makan sedap,hari itu biarlah dia menggembirakan keluarganya pula.

Sudah hampir dua bulan dia menjadi guru.Banyak pengalaman suka dan duka yang Along lalui.Semuanya dilalui dengan tabah. Kekadang dirasakan sesak untuk bernafas,ada masa begitu banyak Along mereka alasan,tetapi dengan berkat doa dan sokongan terutama dari ibunya,dia masih berdiri sebagai seorang guru.Itu minggu terakhir Along di sekolah itu.Perasaannya bercampur.Sedih kerana terpaksa meninggalkan anak-anak muridnya.Gembira kerana terlepas dari beban kerja yang memberatkan.Tertekan,kerana berakhirnya persekolahan bermakna bermula hidupnya sebagai penganggur lagi.

Kini sudah hampir dua minggu dia berada di rumah.Sibuk berada dihadapan komputer ribanya.Membuka laman web untuk mencari pekerjaan.Banyak kerja kosong,tetapi nak mencari yang halalan toyyiba itu yang susah.Tapi,kalau cakap dengan orang kampung,mereka takkan faham.Bagi mereka,kerja sahajalah yang penting duit masuk.Bagi Along,itu tidak patuh syariah.

Puas di mencari kerja.Puas juga dia mendengar penghinaan bertubi-tubi tentang dirinya yang tidak bekerja.Kali itu entah kenapa,Along berani meninggikan suara kepada ibunya.Mungkin Along tertekan.

"Along,mak dah tak tahan dengan orang kampung.Lepas sorang,sorang tanya pasal kau."

"Mak,Along bukan tidak mahu bekerja.Along dah usaha,dah Along tak dapat.Lepas ni kalau Along dapat kerja jauh mana pun Along akan pergi je.Along tak boleh duduk sini lama-lama.Lagi lama Along duduk rumah,lagi banyak dosa Along."

Sehingga suatu hari,Along menerima panggilan dari seorang perempuan menawarkan kepadanya untuk mengikuti sebuah kursus untuk lepasan ijazah.Along tanpa berfikir panjang akhirnya menerima tawaran itu.Akan dia buktikan pada semua dia juga mampu berjaya.

Kini Along sedang tekun melalui hari-harinya.Berkenalan dengan kawan baru menjadikan hidupnya semakin matang.Dia hanya mampu berdoa agar diberi kejayaan olehNya untuk kehidupan yang lebih baik.Aamiin.

Salju Sakura